Wednesday, 11 March 2015

Pengenalan Ilmu Qiraat

Ilmu Qiraat boleh didefinisikan dari segi bahasa dan istilah,
Bahasa:

Ilmu Qiraat berasal daripada perkataan Bahasa Arab bersifat jamak bermaksud bacaan.

Istilah:

Ialah satu ilmu tentang cara melafazkan kalimah ayat Al-Quran serta pelaksanaannya dengan menisbahkan setiap bacaan kepada seorang Imam Ilmu Qiraat.

Fokus utama:

Menekuni kalimah-kalimah Quraniyyah dari segi cara pelaksanaannya seperti  panjang atau pendek hukum tajwid, hukum izhar dan idgham.   
  
 Faedah Ilmu Qiraat:

Memelihara dan menyelamatkan seseorang daripada kesalahan dalam membaca
Al-Quran serta mengetahui setiap bacaan para Imam Qiraat dan mampu membezakan setiap bacaan mereka.

Kelebihan Ilmu Qiraat:

Termasuk dalam sebaik-baik ilmu untuk dipelajari kerana berkait rapat dengan Kalam Illahi. Kemuliaan ilmu ini adalah kerana mulianya Al-Quran.
      
Pengumpulan Ilmu Qiraat:

Dikumpul oleh Imam-imam Qiraat dan diriwayatkan bahawa orang pertama yang mengumpulkannya ialah Imam Abu Umar Hafs bin Umar ad-Duri.

Pembukuan Ilmu Qiraat:

Orang pertama melakukan hal ini ialah Abu Ubaid al Qaasim bin Salam  
(wafat 224 H).

 Sumber pengambilan:

Melalui riwayat-riwayat yang sahih dan mutawatir daripada Imam Qiraat sehingga bertemu sanad dengan baginda Rasulullah SAW.

Hukum mempelajari:

Fardu kifayah

Khilaf atau perbezaan di sisi ulama qurra terbahagi kepada dua bahagian :

1. Khilaf wajib

2. Khilaf jaiz (harus)

Bahagian Pertama : Khilaf Wajib

Ialah perbezaan pada 

(a)  Ilmu Qiraat (bacaan)
·         Setiap bacaan ini disandarkan kepada Imam contohnya Ilmu Qiraat Imam Nafi', Ilmu Qiraat Imam Hamzah ,Ilmu Qiraat Imam A'sim .

(b)  Riwayat
·         Bermaksud sesuatu yang disandarkan kepada orang yang mengambil bacaan daripada imam Qirrat sekalipun dengan perantaraan orang lain contohnya di sebut riwayat Warsh. Maka  Warsh boleh disebut sebagai perawi.         

(c) Thuruq
·         Thuruq dalam kaedah ilmu Ilmu Qiraat ialah perawi kepada perawi sebagai contoh thuruq Azraq. Beliau ialah perawi kepada Warsh.

Bahagian kedua: Khilaf Jaiz (harus)

Iaitu perbezaan para qurra dalam  memilih bentuk bacaan seumpama bacaan isti'azah, bacaan basmalah antara dua surah, memilih untuk berhenti secara sukun, raum atau isymam, memilih bacaan dengan kadar panjang (ishba') 6 harakat, tawassut (pertengahan) 4 harakat atau qasr (pendek) 2 harakat.

Senarai Imam Qiraat dan Perawi

1. Imam Nafi' al-Madani
·         Imam Qalun
·         Imam Warsh

2. Imam Ibn Kathir al-Makki
·         Imam Bazzi
·         Imam Qunbul

3. Imam Abu 'Amru
·         Imam ad-Duri
·         Imam as-Susi

4. Imam Abdullah ibn 'Amir
·         Imam Hisham
·         Imam Ibn Zakwan

5. Imam Asim al-Kufi
·         Imam Syukbah
·         Imam Hafs

6. Imam Hamzah al-Kufi
·         Imam Khalaf
·         Imam Khallad

7. Imam Kisaie al-Kufi
·         Imam Abul Harith
·         Imam Ad-Duri

8. Imam Abu Jaafar al-Madani
·         Imam Ibn Wardan
·         Imam Ibn Jammaz

9. Imam Yaakub al-Hadhrami
·         Imam Ruwais
·         Imam Rauh

10. Imam Khalaf al-A'syir
·         Imam Ishak
·         Imam Idris

Ilmu qiraat merupakan salah satu daripada ilmu yang terdapat di dalam ulum al-Quran. Ia membicarakan cara-cara bacaan al-Quran menurut imam-imam qiraat. Daripada ilmu inilah lahirnya ungkapan yang biasa kita dengar seperti qiraat tujuh, qiraat sepuluh, qiraat empat belas dan sebagainya. 

Ilmu qiraat juga menjelaskan cara bacaan yang kita amalkan pada hari ini iaitu menurut riwayat Hafs bin Sulayman Al-Kufi. Ini bermakna, ilmu tajwid yang kita pelajari selama ini merupakan sebahagian daripada ilmu qiraat. Secara ringkasnya, dengan mempelajari ilmu qiraat, kita akan mampu mengetahui susur galur bacaan yang kita amalkan pada hari ini serta mengetahui perbezaan bacaan yang ada dalam kalangan imam-imam qiraat.

Secara umumnya, ilmu qiraat boleh dibahagikan kepada dua bahagian.

Pertama: Ilmu Qiraat Dirayah
Ilmu ini lebih menjurus kepada penjelasan definisi-definisi yang terdapat di dalam ilmu qiraat seperti definisi qiraat dan ilmu qiraat, definisi qari' dan muqri', definisi riwayat, turuq dan sebagainya. Ia juga membahaskan sejarah perkembangan ilmu qiraat, rukun dan syarat sah qiraat, dalil-dalil yang menjelaskan kewujudan ilmu qiraat, pengenalan terhadap imam-imam qiraat mutwatirah dan syazzah, serta pelbagai lagi.

Kedua: Ilmu Qiraat Riwayah
Ilmu ini pula lebih menjurus kepada penerangan terhadap perbezaan bacaan yang terdapat di dalam al-Quran. Melalui ilmu ini, kita akan menyedari bahawa terdapat pelbagai bacaan yang berbeza dengan bacaan yang kita praktikkan selama ini. Perbezaan bacaan ini pula terdiri kepada dua jenis.

a) Usul al-Qiraat:
Iaitu cara bacaan khusus bagi imam-imam qiraat yang dibaca dengan kaedah tertentu pada tempat bacaan yang sama secara tetap.
Contohnya: Ada riwayat yang membaca Mad Jaiz Munfasil dengan kadar dua harakat  (secara qasar). Justeru, bacaan dengan riwayat ini akan menetapkan bacaan dengan kadar dua harakat sahaja setiap kali membaca Mad Jaiz Munfasil pada keseluruhan tempat di dalam al-Quran. Begitulah juga seterusnya sekiranya ada riwayat yang membaca dengan kadar enam harakat (secara ishba') pada Mad Wajib Muttasil, maka riwayat ini akan sentiasa membaca dengan kadar enam harakat setiap kali bertemu dengan Mad Wajib Muttasil.

b) Farsh al-Huruf
Iaitu perubahan bacaan yang berlaku pada kalimah-kalimah yang khusus sahaja.
Contohnya bacaan pada kalimah 'maliki' di dalam Surah al-Fatihah, terdapat riwayat yang membaca pada suku kata 'ma' dengan kadar satu harakat iaitu 'maliki'. Manakala terdapat pula riwayat lain yang membaca suku kata tersebut dengan kadar dua harakat iaitu 'maaliki'. (Bacaan daripada riwayat ini yang kita praktikkan).

Namun ia bukanlah suatu yang tetap di mana suatu riwayat itu mesti membaca dengan kadar yang sama setiap kali bertemu dengan kalimah 'maliki' di dalam al-Quran. Contohnya dalam bacaan kita di dalam Surah al-Nas pada ayat 'malikinnas'. Kita membaca suku kata 'ma' dengan kadar satu harakat sahaja, bukan dengan kadar dua harakat.

Mengapa? Kerana ia tidak termasuk dalam bahagian usul al-Qiraat, sebaliknya pada bahagian Farsh al-Huruf. Walaubagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat juga bacaan yang dibacakan secara tetap dari permulaan al-Quran hingga ke akhirnya berdasarkan kepada pengecualian tertentu yang akan saya perincikan di dalam entri Farsh al-Huruf.

Sekian sahaja buat kali, insya Allah saya akan jelaskan ilmu qiraat di dalam entri-entri yang berikutnya. Segala respon, komen dan sebagainya amat digalakkan agar dapat saya perbaiki kesilapan yang ada dalam coretan saya. Wallahu a'lam.

2 comments: